Followers

Wednesday, December 5, 2012

Bekalan

Assalamualaikum.

nak kongsi satu pengisian daripada buku Penawar Duka Pengubat Sengsara oleh Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. Maza)

Hidup ini adalah kembara merentasi benua yang mencabar. Ketakutan dan cabaran menghambat kita di mana-mana. Namun Allah menyediakan pelbagai bekalan kekuatan yang jika dihayati, diselami dan dihirup ke dalam urat nadi akan menjadikan insan sabar dan yakin dalam meneruskan kembara ini. Antara bekalan yang disediakan ialah solat, terutama qiamulail. Esakan dan tangisan rintihan pada malam yang sunyi adalah nikmat yang tidak dapat digambarkan. Air mata rintihan dan pengakuan diri di hadapan Allah atas kelemahan dan dosa juga permohonan doa agar diberikan limpah kurnia, itu semua adalah kenikmatan yang tidak dapat difahami melainkan sesiapa yang merasainya. dalam sebak tangisan itulah insan merasai nikmat menghambakan diri kepada Tuhan Yang Maha Agung. Itulah bekalan dalam merempuh cabaran dan dugaan hidup.

Percayalah kepada doa dan tawakal di samping berusaha menurut prinsip-prinsip agama. Apabila Allah menolong kita, tiada siapa lagi yang dapat melakukan apapun. Pertolongan dan kurnia Allah itu boleh menjelma dalam pelbagai rupa dan bentuk, cuma kita yang selalu jahil untuk memahami kemakbulan doa yang pernah diminta. 

Banyak ungkapan doa yang mengandungi erti yang hebat diajar oleh Rasulullah s.a.w. Tidak perlu ajaran tarekat yang sebahagiannya mencipta wirid dan zikir rekaan sehingga melupai keindahan wirid dan doa yang sahih yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Antara ungkapan doa yang amat menarik jiwa saya ialah doa yang baginda s.a.w ajar:

"Ya Hayyu, Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata." (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Aibani)

Setiap kali ada kesempatan yang baik, di tempat yang baik dan pada waktu yang baik, saya sering mengulangnya, walaupun entah kali ke berapa seratus atau seribu sekalipun. Ya! Jika Allah yang menguruskan urusan kita, tentu aturan yang ditentukan itu akan begitu hebat merentasi andaian mana-mana insan. Namun jika hidup ini hanya bergantung kepada orang lain, kita sering menjadi mangsa. Kita bergantung kepada diri semata-mata, banyak perkara yang kita akan gagal mengendalikannya.

Bagaimanapun apabila kita serahkan agar Allah membantu tanpa ditinggalkan kita walaupun sekelip mata, keajaiban hidup akan berlaku. Usaha adalah tuntutan kehidupan, namun tawakal  yang sebenar adalah jaminan kekuatan dan kesejahteraan. Allah boleh mengatur perjalanan yang disangka tewas oleh manusia, tapi kejayaan yang berlaku. Apa yang disangka kecewa oleh manusia, tapi kejayaan yang berlaku. Apa yang disangka kecewa oleh manusia tapi kebahagiaan yang memenuhi jiwa.

Ajaibnya cinta, ajaibnya tawakal. Semoga Allah tidak meminggirkan kita semua dalam merentasi kehidupan ini.

No comments: